Jika ditanya mana yang diinginkan wanita, sama ada memasak atau makan luar, pasti ramai diantara memilih untuk makan diluar berbanding masak sendiri dirumah. Ini dipengaruhi oleh rasa penat setelah bekerja dan melakukan kerja rumah. Tambahan lagi dengan kewujudan aplikasi seperti Dahmakan, Grabfood, Foodpanda dan lain-lain yang memudahkan untuk membuat pesanan dengan hanya dihujung jari.
Terdapat beberapa kelebihan dan keburukan masak sendiri atau makan diluar. Saya akan kongsikan dengan anda agar anda boleh menggunakan point tersebut untuk membuat pertimbangan sama ada untuk memasak dirumah atau makan diluar.
Kelebihan memasak dirumah:
- Apabila memasak dirumah anda akan lebih peka pada status Halal dan tahap kebersihan bahan-bahan yang akan digunakan. Anda pasti akan menggunakan bahan terbaik dan mencuci sebelum memasukkan kedalam makanan.
- Peralatan memasak juga tidak dikongsi dengan makanan lain yang mungkin digunakan untuk memasak makanan yang tidak Halal. Anda tidak perlu was-was dengan daging sembelihan yang tidak mengikut sunnah.
- Anda boleh menyediakan makanan berkhasiat untuk keluarga. Makanan diluar biasanya akan meletakkan bahan penyedap rasa berlebihan seperti monosodium glumate (MSG). Ini boleh menyebabkan berat badan naik, toksik kepada badan dan menjadi salah satu punca kepada penyakit kanser.
- Masak sendiri adalah lebih jimat jika dibandingkan dengan makan diluar dari segi harga bahan mentah dan kuantiti makanan lebih-lebih lagi bagi anda yang sudah berkeluarga.
- Boleh berulang kali makan kerana kuantiti yang masak dirumah selalunya akan lebih dari apa yang dibeli di kedai. Jadi tidak risau untuk menambah makanan.
- Setiap orang ada pelbagai citarasa seperti suka makan pedas, tidak makan sesuatu makanan dan sebagainya. Apabila memasak sendiri, anda akan lebih puas hati apabila boleh memasak makanan yang sesuai dan menepati citarasa suami dan anak-anak.
- Risiko untuk terdedah kepada keracunan makanan lebih tinggi kerana anda tidak tahu cara penyimpanan dan penyediaan makanan yang dipesan. Ada kemungkinan bahan tidak dicuci elok atau terdedah pada persekitaran yang kotor.
- Anda akan merasa lebih bebas apabila masak dirumah. Anda boleh makan pada masa yang anda suka tanpa perlu risau kedai tutup. selain itu, anda juga boleh makan secara santai sambil membuat aktiviti lain seperti menonton televisyen.
- Dapat menjimatkan wang kerana kos makan diluar agak tinggi terutamanya bagi mereka yang berkeluarga besar.
- Yang terakhir, dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan apabila boleh makan bersama keluarga sambil berborak tanpa gangguan bunyi dari persekitaran.
Kelebihan makan diluar:
- Lebih menjimatkan jika tinggal bersendirian atau bujang. Tidak berbaloi untuk membeli barang, masa yang digunakan untuk memasak dan kuantiti makanan bagi orang bujang.
- Tidak perlu pening kepala untuk memikirkan menu untuk dimasak setiap hari. Tambahan lagi jika ada anak yang memilih makanan.
- Apabila makan diluar, dapur akan sentiasa kemas. Anda tidak perlu untuk membersihkan dapur sesudah memasak, mencuci pinggan mangkuk dan mengemas kembali segala peralatan yang telah digunakan.
- Terdapat pelbagai pilihan makanan yang boleh didapati tanpa perlu bersusah untuk memasak. Anda boleh menukar kategori menu setiap hari tanpa rasa jemu.
- Memudahkan untuk mereka yang tidak tahu memasak. Anda tidak perlu untuk membeli buku resepi dan terdedah kepada risiko makanan yang tidak menjadi.
- Dengan membuat keputusan untuk makan diluar, anda tidak perlu lagi keluar untuk mencari bahan mentah bagi membuat persiapan memasak. Ini tentunya memakan masa yang lama sehingga makanan siap dihidang.
Kesimpulannya, makan di rumah atau makan diluar mempunyai kelebihan tersendiri. Pilihan ditangan anda, tepuk dada tanya selera.