fbpx

TIP JIMAT MEMBELI BARANG DAPUR

Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, ramai orang mula sedar kepentingan untuk berjimat cermat. Terutama sekali apabila membeli barang dapur. Berikut merupakan beberapa tip yang boleh dikongsikan agar dapat membantu anda untuk berjimat dalam membeli barang dapur.

Catat perbelanjaan setiap bulan

Ramai tahu akan kepentingan untuk menetapkan bajet bagi setiap perbelanjaan setiap bulan. Tetapi ramai yang masih tidak mengamalkan untuk mencatat setiap perbelanjaan. Setiap keluarga perlu ada sebuah buku akaun bagi mencatatkan jumlah pendapatan dan perbelanjaan setiap hari dan setiap bulan.

Anda boleh memulakan dengan mencatat jumlah yang besar seperti rumah, kereta, insurans dan lain-lain. Setelah beberapa bulan, cabar diri untuk mencatat perbelanjaan dengan lebih kecil seperti setiap barang dapur yang dibeli.

Dengan cara ini, anda bukan sahaja akan dapat mengenal pasti jumlah yang dikeluarkan untuk barang dapur, malah jenis barang dapur yang dibeli menggunakan duit tersebut. Jika anda terasa perbelanjaan barang dapur anda tinggi pada bulan itu, anda boleh mengurangkan pada bulan berikutnya dengan mengenal pasti barang kemahuan dalam senarai yang telah dibuat.

Berbelanja dengan jumlah yang telah ditetapkan

Selepas anda menetapkan jumlah untuk perbelanjaan barang dapur pada bulan itu, anda haruslah mengikut jumlah tersebut. Jika perbelanjaan barang dapur tidak mencukupi, anda perlu melakukan analisa bagi mengenal pasti barang dapur mana yang tidak diperlukan. Anda juga dinasihatkan untuk membeli barang ketika harga promosi agar lebih menjimatkan.

Jika terdapat duit lebihan barang dapur bagi bulan tersebut, anda boleh simpan duit itu kedalam tabung barang dapur. Duit lebihan itu boleh digunakan untuk barang dapur pada bulan yang terlebih berbelanja atau pada bulan yang ramai tetamu hadir kerumah.

Disamping itu, tip supaya untuk anda boleh berbelanja mengikut jumlah yang ditetapkan adalah dengan jangan berbelanja ketika dalam keadaan lapar atau dahaga. Ini kerana ketika itu otak tidak dapat berfikir dengan rasional. Anda akan senang tertarik untuk membeli barang dapur yang tidak perlu seperti air gas, coklat, jajan dan lain-lain.

Beli stok untuk sebulan

Mungkin ada yang terkejut dengan tip jimat ini, tapi cuba latih diri anda untuk amalkan membeli barang dapur sekali sahaja dalam masa sebulan. Anda akan dapat rasai perbezaan perbelanjaan cara lama dengan cara yang baru. Dengan ini, anda akan dapat menjimatkan duit untuk minyak kereta, masa, parking dan lain-lain.

Paling utama, anda mesti senaraikan semua barang keperluan yang ingin dibeli. Ini termasuklah barang basah, barang kering dan barang keperluan lain (syampu, ubat gigi dan lain-lain). Ini supaya tiada barang yang tertinggal untuk dibeli. Kemudian, ketika anda memilih dan membeli barang, pastikan kuantiti barang bersesuaian dengan jumlah penghuni rumah agar terhindar dari sifat membazir.

Untuk memudahkan anda, terus ketepikan gaji yang diperuntukkan untuk membeli barang dapur. Amalan ini akan dapat membantu untuk mendisiplinkan diri dan mengawal diri dari boros berbelanja.

Cuba menanam atau menternak binatang

Bagi anda yang utamakan bahan masakan yang segar dan bebas dari racun serangga, tip ini adalah jalan terbaik. Selain dapat menjimatkan perbelanjaan, badan anda akan menjadi lebih sihat dan anda boleh menjana pendapatan jika diusahakan secara komersial. Terdapat pelbagai sayuran yang boleh ditanam dan anda boleh memulakan dengan menanamnya didalam pasu untuk kegunaan sendiri.

Tip ini paling sesuai untuk anda yang duduk dikampung, rumah yang mempunyai halaman yang luas dan rumah landed. Tetapi tidak mustahil untuk yang tinggal dirumah yang bertingkat, kerana anda masih boleh menanam beberapa pokok sayuran di ruangan balkoni rumah.

Membeli secara pukal

Membeli secara pukal terbukti menjimatkan kerana harganya lebih murah. Sebagai contoh, cuba anda bandingkan membeli telur secara biji dengan membeli telur sepapan, mana yang lebih jimat?

Ketika anda membeli barang basah seperti ayam, minta penjual untuk memotong kepada beberapa bahagian. Ini membuatkan ayam nampak banyak dan memudahkan anda untuk menganggar kuantiti apabila memasak. Bagi rempah ratus, pastikan anda membeli lebih bagi rempah yang biasa digunakan. Lagi bagus jika anda membeli dalam pek yang lebih besar. Ianya boleh disimpan kedalam bekas jika risau ia akan rosak.

Yang penting, apabila membeli barang basah, pastikan kesemua barang yang dibeli boleh muat didalam peti ais anda. Ini dapat mengurangkan risiko pembaziran akibat barang basah yang tidak disimpan sempurna. Bagi barang kering, pastikan anda memeriksa tarikh luput bagi setiap barang tersebut.

Sertai program keahlian pasaraya yang selalu dikunjungi

Bagi anda yang gemar berbelanja di pasaraya tertentu, adalah lebih bagus untuk anda sertai program keahlian pasaraya tersebut. Terdapat pelbagai pasaraya yang menawarkan keahlian untuk pelanggan dengan menawarkan pelbagai manfaat seperti Aeon, Tesco, pasaraya Hero dan lain-lain. Antara manfaat yang mampu menjimatkan perbelanjaan anda adalah seperti potongan khas harga ahli, Member Day Sale, tawaran separuh harga dan sebagainya.

Disamping itu, anda boleh membeli barang dapur yang berjenamakan pasaraya tersebut. Ini kerana barang yang berjenamakan pasaraya seperti Tesco, Giant dan lain-lain akan lebih murah dan mempunyai kualiti yang agak sama.

Tempat membeli barang

Untuk membantu anda berjimat, tentukan tempat untuk membeli barang dapur. Jika dibandingkan antara pasar basah dengan mall yang besar, tentu barangan di pasar basah lebih murah. Bagi mereka yang tinggal di kawasan kampung atau pinggir bandar, pasti senang untuk mencari pasar basah tetapi tidak pada mereka yang tinggal dibandar. Selain pasar basah, pasar tani juga boleh diutamakan untuk membeli barang dapur.

Walaupun mungkin hanya murah beberapa ringgit atau sen, ianya tetap merupakan penjimatan. Jika anda terlihat orang tua menjaja ditepi jalan, belilah sesuatu dari mereka. Harga barangan selalunya lebih murah dan secara tidak langsung anda dapat membantu mereka.

Kesimpulannya, terdapat beberapa cara untuk anda kekal berjimat lebih-lebih lagi dimusim Covid melanda. 

Ms Fiqah

all author posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are makes.