fbpx

RESEPI MUDAH BERASASKAN TELUR

Kadang kala anda pasti buntu tidak ada idea nak masak apa. Lagi-lagi setelah penat seharian bekerja. Anda juga penat dan tidak larat untuk kepasaraya. Jangan risau, dibawah terdapat beberapa resepi mudah yang berasakan telur. 

TELUR GORENG KICAP PEDAS

Bahan-bahan

  • 5 biji telur
  • Setengah biji bawang besar (dihiris)
  • 8 biji cili padi (dihiris)
  • Sebiji tomato (potong dadu)
  • 4 biji limau kasturi
  • Kicap
  • Minyak masak

Cara penyediaan

  1. Goreng telur sebiji demi sebiji didalam api yang panas. Angkat dan letakkan didalam pinggan.
  2. Masukkan bawang, cili padi, tomato dan kicap kedalam bekas lain. 
  3. Kemudian perahkan limau kasturi. Gaul semua bahan sehingga sebati. 
  4. Tuangkan bahan yang digaul ke atas telur. 
  5. Sedia untuk dimakan. 

KARI TELUR

Bahan – bahan

  • 5 biji telur
  • Rempah kari daging
  • 2 biji kentang (dipotong 6)
  • 2 mangkuk santan
  • Kerisik
  • Rempah 3 beradik
  • 2 biji bawang merah besar (dikisar)
  • 3 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 inci halia (dikisar)
  • Air
  • Garam secukup rasa

Cara penyediaan

  1. Rebus telur dan kupas kulitnya,
  2. Panaskan minyak masak dan tumis 3 beradik sehingga naik bau. 
  3. Masukkan bahan yang dikisar dan kacau perlahan. Kemudian, masukkan rempah kari yang digaul bersama sedikit air. Masukkan kentang.
  4. Apabila kentang empuk, masukkan santan.  Jika terlampau pekat boleh dimasukkan air.
  5. Setelah itu, masukkan kerisik dan gaul sebati. Jika sudah mendidih, masukkan telur dan garam secukup rasa. 
  6. Tutup api dan sedia untuk dimakan. 

 

SAMBAL TELUR

Bahan – bahan

  • 5 biji telur
  • Sebiji bawang merah besar (dikisar)
  • 2 ulas bawang putih (dikisar)
  • 5 sudu makan cili kisar
  • Minyak masak
  • Sedikit asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan

  1. Panaskan minyak didalam kuali. Masukkan bahan yang dikisar dan tumis sehingga pecah minyak. 
  2. Setelah itu, masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. 
  3. Setelah mendidih dan sedikit kering airnya, masukkan telur satu persatu. 
  4. Jika ingin telur yang hancur, boleh dikacau setelah telur sedikit keras. Jika tidak boleh perlahankan api dan tunggu sehingga telur masak. 
  5. Angkat dan sedia untuk dimakan. 

TELUR DADAR BERKEJU

Bahan-bahan

  • 5 biji telur
  • Sebiji bawang besar (potong dadu)
  • 7 biji cili padi (dihiris)
  • 3 batang daun sup (dihiris)
  • 1 cawan keju cheddar
  • 1 kiub pati ayam
  • 1 sudu baking powder
  • Sedikit mentega 

Cara penyediaan

  1. Pecahkan telur kedalam mangkuk. 
  2. Masukkan bawang besar, cili padi, daun sup, kiub pati ayam dan baking powder. 
  3. Panaskan kuali dan masukkan mentega. 
  4. Setelah itu, masukkan setengah bahagian adunan telur. Tabur keju cheddar ke atas telur yang sedang dimasak. 
  5. Setelah telur kelihatan kental, terbalikkan dengan berhati-hati. 
  6. Angkat telur apabila kelihatan sudah masak. Ulang langkah 4,5 dan 6. 
  7. Sedia untuk dimakan. 

SUP TELUR DAN KENTANG

Bahan-bahan 

  • 5 biji telur
  • 2 biji kentang (dipotong 6)
  • 50 g bunga kobis
  • Suun dan pucuk sedikit
  • I kiub pati ayam
  • 1 biji bawang merah (dihiris)
  • 2 ulas bawang putih (dihiris)
  • Serbuk lada hitam secukupnya
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak

Cara penyediaan

  1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga wangi. Masukkan kentang dan kacau rata. 
  2. Setelah itu, masukkan air dan kiub pati ayam. Boleh diperlahankan api ketika air mendidih. 
  3. Apabila kentang empuk, masukkan bunga kobis. 
  4. Setelah itu masukkan telur satu persatu. Kemudian masukkan suun dan pucuk. Kacau perlahan.
  5. Perisakan dengan garam, gula dan serbuk lada hitam. Masak seketika dan tutup api. 
  6. Angkat dan sedia untuk dimakan. 

TELUR BISTIK

Bahan-bahan

  • 3 biji telur
  • Isi ayam 3 ketul dipotong dadu
  • 2 sudu sos cili
  • 2 sudu sos tomato
  • 1 sudu cili kisar
  • 1 sudu sos tiram
  • Sayur campur
  • Bawang merah
  • Bawang putih 
  • Tepung jagung 
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan

  1. Rebus ayam separuh masak. Angkat dan masukkan kedalam mangkuk bersama telur. Masukkan garam dan digaul rata. 
  2. Goreng ayam dan telur dan ketepikan. 
  3. Tumis bawang merah dan putih didalam kuali. Masukkan cili kisar, sos cili dan sos tomato. Kacau perlahan sehingga sebati. 
  4. Kemudian masukkan air rebusan ayam sedikit bersama sayur campur. 
  5. Setelah itu, masukkan sos tiram. Pekatkan kuah dengan memasukkan tepung jagung.
  6. Apabila hampir masak, perisakan dengan garam dan gula. 
  7. Setelah selesai, tuangkan kuah keatas telur bersama ayam yang digoreng tadi. 
  8. Sedia untuk dimakan.

TELUR MASAK KURMA

Bahan-bahan

  • 6 biji telur (direbus dan dibuang kulit)
  • 2 ½ sudu besar rempah kurma (dibancuh dengan air)
  • 1 mangkuk santan pekat
  • 1 mangkuk santan cair
  • Sebatang lobak merah
  • Sebiji tomato (dibelah 4)
  • Sebiji kentang (dibelah 6)
  • Sebiji bawang besar (dibelah 4)
  • 2 biji cili hijau atau merah (dibelah 2)
  • Minyak masak
  • Daun ketumbar
  • 2 biji bawang merah besar (dikisar)
  • 4 ulas bawang putih (dikisar)
  • 1 inci halia (dikisar)
  • Rempah 3 beradik
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan

  1. Panaskan minyak didalam periuk.  Masukkan rempah 3 beradik dan bahan-bahan yang dikisar. Tumiskan sehingga naik bau.
  2.  Kemudian, masukkan rempah kurma dan masak sehingga garing dan pecah minyak. Kacau supaya tidak hangus.
  3. Setelah itu masukkan santan cair, telur, kentang dan lobak merah. Tunggu sehingga sayur empuk. 
  4. Masukkan pula santan pekat, bawang besar, tomato dan cili. Biarkan sehingga kuah mendidih dan pekat. 
  5. Kemudian boleh diperasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Taburkan daun ketumbar supaya lebih sedap. 
  6. Sedia untuk dimakan.

TELUR MASAK TAUCU

Bahan-bahan

  • 5 biji telur
  • 2 biji bawang merah (dihiris)
  • 2 ulas bawang putih (dihiris)
  • Sebiji cili merah (dihiris)
  • 1 inci halia
  • 1 sudu besar taucu
  • 1 sudu besar sos tiram
  • Sedikit asam jawa
  • Minyak masak
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan

  1. Goreng telur sebiji demi sebiji didalam api yang panas. Angkat dan letakkan didalam pinggan.
  2. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan cili sehingga naik bau. 
  3. Masukkan taucu dan kacau perlahan. Jika suka berkuah boleh dimasukkan sedikit air.
  4. Kemudian masukkan asam jawa dan sos tiram. Perisakan dengan garam dan gula. 
  5. Masak sehingga kuah mendidih. Tuang kuah keatas telur. Sedia untuk dimakan.

Selamat mencuba 🙂

Ingin membeli barang segar tanpa keluar rumah? Sila layari pasarhub.my.

Ms Fiqah

all author posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are makes.