Peti ais merupakan tempat penyimpanan segala bahan makanan dari bahan basah sehingga ke bahan kering. Penting untuk memastikan peti ais sentiasa dalam keadaan terurus. Banyak manfaat yang dapat diperolehi apabila peti ais kekal terjaga.
Antaranya, anda akan senang mencari barang, boleh kenal pasti barang yang rosak dan sedap mata memandang. Kadang kala mood memasak boleh rosak apabila tidak jumpa barang yang dicari. Tambahan lagi, barang didalam peti ais akan tahan lebih lama kerana sistem pengudaraan yang baik. Antara tips yang boleh dilakukan adalah:
Susunan Yang Betul
Salah satu sebab terjadinya peti ais yang tidak kemas adalah apabila barang lama yang sudah rosak masih kekal didalam peti ais. Kadang kala barangan tersebut tidak digunakan kerana sudah terlupa kewujudannya. Ini mungkin kerana ia terhalang dari pandangan kesan daripada barang dihadapannya.
Cara untuk menangani masalah ini adalah dengan menampal senarai bagi semua barang yang dibeli di pintu peti ais dan tanda barangan yang telah dipakai. Dengan ini, anda akan tahu barang apa yang masih ada untuk digunakan didalam peti ais. Disamping itu, dengan wujudnya senarai barang ini akan dapat membantu anda untuk tidak membazir. Peluang untuk anda membeli lagi barangan sedia ada adalah tipis.
Kenalpasti Tarikh Luput
Bagi mengurangkan pembaziran, anda perlu menulis tarikh luput di senarai barang bagi setiap barangan yang mempunyai tarikh luput. Bagi barangan yang tidak mempunyai tarikh luput seperti sayur dan buahan, anda boleh menulis tarikh pembelian. Ini membantu anda untuk menganggar tarikh akhir barangan tersebut boleh digunakan.
Gunakan Bekas Untuk Mengisi Barangan
Salah satu cara yang bagus untuk memastikan peti ais anda tersusun adalah dengan simpan barangan didalam bekas sebelum dimasukkan kedalam peti ais. Lebih menarik jika anda menggunakan satu warna tema yang sama bagi kesemua bekas dalam peti ais. Barangan yang sama jenis boleh disimpan bersama.
Adakala apabila barang telah lama dibeli, anda mungkin terlupa dimana anda letakkan barang tersebut. Dengan cara ini boleh membantu anda untuk mudah mencarinya kemudian. Selain itu, apabila barangan tersusun, anda mudah untuk menulis senarai barang keperluan. Hati pun jadi senang melihatnya.
Tetapkan Barang Bagi Setiap Tingkat
Disamping itu, anda boleh menetapkan barang yang perlu ada bagi setiap tingkat dipeti ais. Sebagai contoh, sayur boleh diletakkan sama tingkat bersama sayuran lain manakala buahan boleh dicampur bersama buahan lain ditingkat yang lain. Air botol dan air tin juga boleh diletakkan ditempat khas lain. Barangan yang disusun akan turut bantu anda bagi mengenalpasti barang apa yang kerap digunakan dan cepat habis. Secara tidak langsung anda akan dapat ketahui corak pemakanan keluarga anda.
Lapik Setiap Tingkat
Anda pasti merasa tidak selesa dan penat untuk membongkok bagi membersihkan peti ais. Ini dapat diselesaikan dengan menggunakan pelapik bagi setiap tingkat. Anda boleh menggunakan kain atau alas yang mudah dibersihkan. Selain itu, anda boleh juga guna placemats yang boleh didapati dari Mr DIY. Jadi, apabila terjadi sesuatu yang tidak diingini seperti makanan tertumpah, anda tidak perlu susah hati. Kerja anda menjadi lebih mudah dengan membersihkan lapik disinki dan hanya perlu mengelap sedikit di sekeliling tempat tumpahnya makanan.
Penyimpanan Barangan Terbuka
Ada sesetengah makanan dalam tin atau plastik yang hanya perlu digunakan separuh didalam masakan. Misalnya cendawan dalam tin dan bungkusan ayam. Barang-barang ini berpotensi untuk tumpah, bocor dan terjadinya pencemaran bersilang apabila disimpan semula kedalam peti ais. Bagi menghindari perkara tersebut dari berlaku, anda boleh menyimpan barang tersebut kedalam bekas bertutup yang lain. Ini boleh menyelamatkan bau peti ais anda. Pada masa yang sama, anda boleh simpan barang tersebut dibahagian yang tinggi yang sukar dicapai anak kecil.
Bekas Serbuk Penaik
Terdapat pelbagai cara bagi memastikan peti ais kekal berbau segar. Antaranya dengan meletakkan serbuk penaik. Serbuk penaik membantu untuk menghilangkan bau-bau yang tidak diingini. Anda boleh meletakkan serbuk penaik kedalam bekas kecil dan letakkan kedalam peti ais. Tukar bekas setiap 2 bulan bagi mengekalkan bau yang enak.
Penyimpanan Dipintu Peti Ais
Terdapat banyak tempat bagi penyimpanan barang didalam peti ais. Ia direka begitu bagi kegunaan tertentu. Bahagian pintu peti ais adalah bahagian paling kurang sejuk didalam peti ais. Ia sesuai untuk menyimpan minuman, jus dan segala jenis sos. Dengan meletakkan segala jenis sos di satu tempat yang sama akan menjadikan susunan yang menarik dan mudah dicapai.
Kenalpasti Barang
Barang yang banyak akan menyebabkan peti ais kelihatan serabut dan tidak kemas. Terdapat beberapa barang makanan yang boleh disimpan disuhu bilik tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti ais. Antara beberapa barang makanan yang boleh disimpan di suhu bilik adalah bawang merah, bawang putih, kentang, madu, telur dan limau.
Keluarkan Barang Yang Rosak
Apabila ada sesuatu makanan yang sudah mula rosak atau busuk, anda perlu segera keluarkan makanan tersebut. Jangan tunggu sehingga sesi mengemas peti ais yang akan datang. Ini agar dapat menghindari daripada kuman tersebut merebak ke makanan yang lain. Sebagai contoh, sebiji cili yang rosak perlu diasingkan agar tidak mencemarkan cili yang lain.
Dengan melakukan pembaikan yang sedikit akan dapat menjimatkan masa dan duit anda pada masa akan datang. Seperkara lagi, dengan penyimpanan dan penyusunan yang betul dapat memastikan barang tahan lebih lama dan rasa yang baik.
~Anda sibuk dan tidak sempat untuk keluar membeli barangan segar? Layari pasarhub.my untuk mendapatkan barangan segar.