Pisau adalah satu alatan yang penting yang perlu ada dirumah. Ia akan digunakan untuk memotong, mengupas dan menghiris. Tahukah anda terdapat pelbagai jenis pisau yang dijual dipasaran. Kesemua jenis pisau ini mempunyai fungsi yang tersendiri. Pemilihan pisau yang betul dengan kegunaannya akan membuatkan kerja dapur jadi lebih mudah dan pantas. Tambahan lagi, jangka hayat pisau juga akan jadi bertambah lama. Agar tidak tersalah pakai, berikut merupakan beberapa jenis pisau beserta kegunaanya.
Pisau Chef
Pisau chef adalah pisau yang paling popular dan banyak digunakan. Pisau ini mempunyai bilah yang agak berat, kuat dan mempunyai anggaran ukuran antara 15-30 cm. Pisau ini boleh digunakan untuk kerja mencincang dan menghiris daging, memotong sayuran dan sebagainya. Jika koleksi pisau masih terhad, ini adalah pisau yang perlu dimiliki.
Pisau Boning
Pisau ini mempunyai bilah yang kurus, melengkung dan ukuran panjang sekitar 15 cm. Pisau boning digunakan bagi memotong dan mengasingkan daging dan ayam daripada bahagian tulang. Sebagai contoh, ia akan digunakan ketika membuat chicken chop dan satay. Terdapat juga pisau boning versi fleksibel yang lebih mudah digunakan pada ikan dan ayam.
Pisau Paring
Pisau paring mempunyai bentuk yang kecil beserta hujung yang runcing dan tajam. Saiznya yang kecil membantu untuk menggenggam pisau dengan lebih kemas. Ia turut memudahkan mengawal ketebalan buah atau sayuran yang hendak dikupas. Pisau jenis ini sesuai digunakan untuk mengupas kentang, buah-buahan, sayur-sayuran dan mengukir hiasan makanan.
Pisau Fillet
Dengan bentuk fizikalnya yang panjang dan langsing, pisau ini mempunyai mata yang lebih fleksibel. Ia sesuai untuk digunakan untuk kerja-kerja menyiang ikan terutamanya bagi membuat fillet. . Selain itu, pisau ini boleh digunakan untuk menghiris daging.
Pisau Pemotong
Pisau pemotong turut digelar dengan nama choppers. Bentuk fizikal pisau ini hampir serupa dengan pisau cleavers, cuma bahagian pemotong pisau ini lebih nipis. Oleh kerana itu, ia selalu disalah guna dengan memotong tulang atau daging beku. Pisau ini sesuai digunakan untuk menghiris daging secara menipis.
Pisau Cleavers
Pisau cleavers selalu ditemui dikedai penjualan daging dan ayam. Ini kerana ia amat bagus untuk digunakan bagi memotong bahagian daging yang besar dan tulang. Kebanyakan masyarakat cina gemar gunakan pisau jenis ini. Kerana itu, ada yang menamakan pisau ini sebagai Chinese Chef’s Knife. Pisau ini mempunyai bilah yang besar berbentuk segi empat tepat. Pisau ini juga jenis pisau yang berat. Bahagian yang paling berat adalah pada penampangnya yang tebal.
Pisau Pencincang
Pisau pencincang adalah satu-satunya pisau yang mempunyai dua pangkal. Pisau ini mempunyai bilah yang tajam, melengkung dan nipis. Ia akan digunakan untuk mencincang dengan cara menekan hujung kiri dan kanan secara berselang seli. Walaubagaimanapun, ia amat jarang ditemui didapur.
Pisau Santoku
Pisau santoku merupakan pisau yang sering digunakan oleh surirumah dinegara ini. Ia mempunyai bentuk yang sedikit melengkung dibahagian hujungnya. Pisau santoku sesuai digunakan untuk memotong ikan, daging dan sayuran.
Pisau Roti
Sesuai dengan namanya, pisau ini selalu digunakan untuk memotong roti. Ia dapat membuatkan roti masih kelihatan gebu walaupun dipotong. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk memotong sesuatu yang lembut seperti kek, kuah dan buah tomato. Pisau ini mempunyai gerigi halus di sepanjang bilahnya. Bilahnya agak panjang dan kuat.
Pisau Palette
Pisau palette mempunyai bilah yang tumpul bagi memudahkan ia menyelit diantara makanan dan kuali. Pisau ini amat sesuai digunakan apabila menggoreng telur serta pancake. Namun, pisau ini jarang digunakan. Ini kerana kita sudah terbiasa untuk menggunakan sudip untuk menggoreng telur.
Pisau Pengukir
Pisau ini mempunyai bilah yang nipis dan runcing dihujungnya. Pisau pengukir selalunya digunakan bagi membuat hirisan yang lebih nipis dan halus. Orang selalunya akan menggunakan pisau ini untuk mengukir buah-buahan.
Pisau Utiliti
Pisau ini cukup versatil dengan mempunyai pelbagai fungsi. Fizikal pisau utiliti ialah ia mempunyai bilah yang kecil dan runcing. Reka bentuk ini sesuai untuk kerja memotong dan menghiris buah-buahan dan sayur-sayuran.
~Ingin membeli barangan segar tanpa keluar rumah? Layari pasarhub.my sekarang..